LUMUT 30 Jun – Usaha untuk mendapatkan semula akses kepada akaun UMNO yang telah dibekukan perlu digerakkan mengikut kadar kemampuan kerana tindakan oleh pihak berkuasa itu pasti memberi kesan terhadap pengurusan parti di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ahli-ahli parti bagaimanapun dilihat tabah menghadapi saat-saat getir ketika ini.
“Biarlah proses itu berjalan kerana keputusan itu dibuat oleh pihak berkuasa. Ini merupakan urusan parti, jadi saya tidak mahu komen, biarlah orang membuat penilaian.
“Tentunya ia suatu yang amat menyedihkan, namun terlalu awal untuk kita mengambil tindakan dan kita perlu mendapatkan arahan selanjutnya dari Ibu Pejabat UMNO apa yang perlu kita buat kerana ia melibatkan seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut 2018 di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











