KEPALA BATAS 30 Jun – Pembekuan akaun UMNO tidak menjejaskan pengurusan parti itu di negeri ini setakat ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, hal ini demikian kerana perjalanan operasi khususnya dari segi kos pengurusan parti itu telah dibuat dengan baik dan teratur oleh kepimpinan terdahulu.
“Barangkali tempat lain mungkin ada yang terjejas, namun (UMNO) Pulau Pinang belum terjejas lagi.
“Bagaimanapun, saya telah meminta agar Datuk Musa (Setiausaha UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir) memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut jika diperlukan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, calon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun UMNO Pusat, UMNO Selangor serta Johor.
Keputusan itu dibuat sehari selepas beliau mengumumkan agihan dana kepada UMNO negeri dan bahagian akan disalurkan semula.
Dalam perkembangan lain, Reezal Merican yang juga calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, parti itu akan kekal sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Melayu pada masa depan serta menjadi tunjang kepada usaha memperjuangkan hak kaum lain seperti sebelum ini.
“Apa yang penting ialah Presidennya nanti perlu diterima oleh semua lapisan masyarakat dan bukan hanya dalam kalangan ahli UMNO sahaja,” katanya.
Terdahulu, beliau mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas selepas diisytihar menang tanpa bertanding manakala jawatan Timbalannya pula disandang Datuk Roslan Saidin yang turut menang tanpa bertanding. – UTUSAN ONLINE










