MUKADIMAH
JIKA anda merupakan peminat bola sepak sudah tentu Kumpulan D dilabel sebagai paling menarik untuk disaksikan apabila tidak mustahil kejutan dapat dicipta oleh Iceland selepas kejayaan mereka mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2016.
Selain elemen kejutan, tumpuan pastinya terarah kepada Argentina yang dilabelkan sebagai pasukan pilihan apabila hadir ke Rusia seperti harimau yang sedang kelaparan. Selepas terlepas peluang menjuarai Piala Dunia empat tahun lalu, Argentina dikecewakan dua kali oleh Chile dalam final Copa America pada 2015 dan 2016.
TIDAK keterlaluan untuk mengatakan Argentina layak untuk beraksi dalam Piala Dunia 2018 kerana Lionel Messi apabila penyerang Barcelona itu meledak hatrik ketika mereka menewaskan Ecuador 3-1 dalam aksi terakhir kelayakan Piala Dunia, Oktober lalu.
Argentina bergelut dengan masalah prestasi dalam kempen kelayakan malah hampir beraksi dalam play-off sebelum tiket mereka ke Rusia berjaya ‘ditempah’ oleh Messi.
Edisi kali ini merupakan masa terbaik untuk Messi mengakhiri kemarau Argentina menjulang Piala Dunia selama 32 tahun memandangkan dia bakal berusia 31 tahun pada 24 Jun ini. Jika gagal, Messi perlu menanti empat tahun lagi dan ketika itu dia sudah lagi tidak berada di tahap kekuatan maksimum.
Meskipun memenangi anugerah Balon d’Or lima kali, sama banyak dengan pencabarnya, Cristiano Ronaldo namun Messi masih belum berpeluang untuk menjulang trofi Piala Dunia dalam hidupnya. Empat tahun lalu, Argentina dikecewakan oleh Jerman dalam final Piala Dunia di Brazil.
Tidak cukup dengan itu, Argentina dikecewakan oleh Chile dua kali berturut-turut bermula 2015 selepas mereka tewas dalam final Copa America menjadikan Messi pemain yang mengecapi pelbagai kejayaan individu namun tidak berjaya bersama skuad kebangsaannya.
Bagaimanapun, Argentina terlalu bergantung harap kepada Messi kerana itu dapat dilihat dalam perlawanan persahabatan menentang Sepanyol apabila mereka dibelasah 6-1 sekali gus menjadi kekalahan terbesar sejak 1958 kepada pasukan dari Eropah.
Messi tidak diturunkan akibat masalah kecederaan dan selain berharap kepada penyerang Barcelona itu, persembahan skuad The Albiceleste di bawah kendalian Jorge Sampaoli tidak begitu meyakinkan malah hingga kini jurulatih Argentina itu masih belum dapat mencari ramuan terbaik untuk pasukannya.
Selain Messi, masih terdapat beberapa pemain yang boleh diletakkan harapan untuk menggalas cabaran Argentina antaranya Paulo Dybala, Sergio Aguero, Mauro Icardi dan Gonzalo Higuain.










