Pekerja kongsi ditemui selamat selepas hilang dua hari - Utusan Malaysia

Pekerja kongsi ditemui selamat selepas hilang dua hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Seorang pekerja kongsi yang hilang selama dua hari selepas tersesat di kawasan hutan dekat Kampung Kundur di sini, ditemui selamat pada hari ini.

Mangsa, Wong Wei Keong, 35, ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di atas bukit di kawasan kebun getah itu oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 12.30 tengahari, hari ini.

Pasukan penyelamat menerima laporan pada pukul 8.10 pagi tadi sebelum menjalankan gerakan mencari dan menyelamat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Zawawi Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan lelaki itu daripada rakan sekerja mangsa sebelum menggerakkan operasi mencari kira-kira pukul 8.30 pagi.

Katanya, pasukan mencari itu membabitkan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menjalankan pencarian di sekitar kawasan hutan tidak jauh dari lokasi mangsa hilang.

“Pasukan mencari telah menjumpai mangsa yang sedang mencari jalan keluar selepas melakukan operasi selama empat jam. Mangsa dijumpai dalam keadaan lemah di atas bukit yang dikelilingi pokok getah.

“Mangsa yang lemah telah dipapah dan diberi minuman sebelum anggota paramedik memeriksa keadaan kesihatan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, maklumat awal mendapati mangsa telah sesat selepas keluar bekerja berseorangan untuk membaiki paip kongsi getahnya dan hilang di hutan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN