KUALA LUMPUR 3 Jun – Pelantikan Peguam Negara mesti menepati kehendak majoriti penduduk Malaysia yang beragama Islam serta mampu mempertahankan agama itu sebagai agama Persekutuan.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, pemilihan Peguam Negara dalam kalangan orang Islam juga penting melihat kepada tugas utamanya sebagai penasihat undang-undang utama kepada kerajaan.
“Maka Peguam Negara yang dicadang oleh kerajaan untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mestilah mampu untuk memelihara agama Islam bagi pihak Seri Paduka.
“Agak janggal sekiranya jawatan itu dilantik daripada kalangan bukan Islam atau mana-mana individu yang tidak mampu untuk menggalas tugas tersebut dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










