SOUTH WALES, Britain – Sepasang kekasih di sini menerima kelahiran bayi kembar tiga seiras tanpa menggunakan sebarang bantuan rawatan kesuburan.
Sian Williams, 31, dan teman lelakinya, Aaron Palfrey, 26, dari Cwmbran, dekat sini teruja apabila anak perempuan mereka, Jorgie, Belle dan Olivia selamat dilahirkan pada Mei tahun lalu.
Menurut pakar perubatan, kemungkinan untuk melahirkan bayi kembar tiga seiras tanpa menggunakan kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) adalah satu dalam 200 juta.
Persamaan wajah antara ketiga-tiga bayi itu menyebabkan Williams dan Palfrey terpaksa menggunakan pewarna kuku di bahagian jari kaki anak mereka untuk mengenalinya.
“Saya sangat gembira apabila disahkan hamil. Malah, keterujaan itu makin bertambah apabila doktor memberitahu saya mengandung kembar tiga sewaktu melakukan ujian imbasan pada usia kandungan tiga bulan,” kata Williams.
Berikutan bimbang risiko kehamilan kembar, Williams telah memilih untuk menjalani pembedahan ceasarean untuk melahirkan anaknya ketika kandungan mencecah 32 minggu pada Mei 2017. – Agensi










