ROME 1 Jun – Parti-parti populis Itali hari ini mencapai persetujuan bagi pembentukan kerajaan gabungan sekali gus mengelak daripada berlakunya snap election atau pilihan raya mengejut.
Semalam, Presiden Sergio Mattarella menyerahkan mandat buat kali kedua kepada Giuseppe Conte yang dipilih oleh parti-parti populis sebagai Perdana Menteri.
Itali mengalami ketidaktentuan politik hampir tiga bulan selepas pilihan raya pada Mac lalu yang tidak menghasilkan keputusan muktamad menyebabkan pasaran kewangan goyah dan rasa kurang selesa dalam kalangan rakan dagangan Eropah.
Conte yang merupakan bekas peguam dan muka baharu dalam politik telah mengumumkan pemilihan anggota Kabinet selepas bermesyuarat dengan Mattarella.
Pemimpin Parti Liga berhaluan kanan, Matteo Salvini dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri manakala pemimpin Five Star Movement, Luigi Di Maio menjadi Menteri Pembangunan Ekonomi.
Paolo Savona, pakar ekonomi euroskeptik yang pada asalnya dicalonkan sebagai Menteri Ekonomi tetapi ditolak oleh Mattarella telah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Eropah.
Jawatan Menteri Ekonomi disandang oleh pemimpin kurang kontroversi, Giovanni Tria yang turut mencadangkan pemotongan cukai manakala Menteri Hal Ehwal Luar dipegang oleh Enzo Moavero Milanesi.
Hanya lima daripada 18 menteri merupakan golongan wanita.
Menurut laporan media tempatan, barisan Kabinet populis itu akan berdepan undi percaya dalam kedua-dua dewan pada Isnin dan Selasa ini.
“Saya tidak menjanjikan sebarang keajaiban tetapi saya boleh beritahu selepas bulan-bulan pertama perubahan kerajaan ini, saya mahu melihat negara yang kurang cukai dan lebih keselamatan, pekerjaan tetapi kurang pendatang,” kata Salvini. – AFP











