KUALA LUMPUR – Ahli-ahli akar umbi UMNO mahu parti itu diterajui oleh calon Presiden yang berwibawa dan dapat menyelamatkan parti tersebut selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Persaingan untuk merebut kerusi Presiden pada Pemilihan UMNO pada 30 Jun ini kini bertumpu kepada tiga calon utama iaitu Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Bagaimanapun, siapa yang akan memenangi jawatan nombor satu parti itu sukar dipastikan kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, masih terlalu awal untuk mengetepikan mana-mana antara tiga calon utama itu.
“Masih ada 13 hari tempoh berkempen. Semua calon ada kekuatan masing-masing,” ujarnya.











