KUALA LUMPUR 4 Jun – Mohamad Sabu lebih selesa disapa dengan panggilan Abang Mat, walaupun tidak kisah dengan panggilan lain asalkan ia selesa untuk pihak berkenaan.
Bagi Menteri Pertahanan itu beliau tidak kisah disapa dengan panggilan Mat Sabu atau YB, tetapi lebih lebih selesa dipanggil sebagai Abang Mat.
“Kalau awak panggil saya dengan panggilan apa? Panggillah Abang Mat,” jawab Mohamad kepada wartawan dalam wawancaran khas di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Sementara itu ketika ditanya apakah yang dimaksudkan `Gaya Mat Sabu’ yang mahu dikekalkan, Mohamad berkata, beliau suka melepak di kedai kopi dan berbual dengan orang ramai.
“Kalau saya rasa nak singgah kedai kopi, saya akan singgah dan berbual dengan orang ramai,” katanya.
Kata Mohamad, beliau juga lebih gemar bekerja dalam suasana gembira dengan gelak ketawa dan cara itu dapat mengelakkan tekanan dalam menjalankan tugas seharian.
Dalam pada itu Mohamad berkata, beliau memang gemar memasak dan antara menu istimewa yang sering dimasak ialah nasi daging dan gulai.
Mohamad berjanji akan menjemput para wartawan bagi menikmati masakannya apabila beliau siap berpindah ke rumah yang disediakan oleh kerajaan kelak.
Mohamad mengakui sudah semakin selesa dengan tugas sehariannya sebagai Menteri Pertahanan dan rasa kekok semakin berkurangan.
“Kita kahwin pun rasa kekok cuma seminggu sahaja,” katanya disambut ketawa oleh para wartawan. – Utusan Online











