KANGAR 30 Jun – Seramai 79 orang anggota Persatuan Pandu Puteri Malaysia mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengambil bahagian di dalam program kayuhan berbasikal semalam.
Mereka yang menerima Anugerah Pandu Puteri Raja Peringkat Kebangsaan bersempena Persidangan Pesuruhjaya dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia menyertai kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali yang ke 47 bagi tahun 2018 yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid An Nur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di Arau.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Rektor UiTM Perlis, Zailuddin Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam titah baginda selepas program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan bahawa interaksi antara kaum mampu memupuk integrasi nasional.
Menurut baginda, “Usaha untuk meningkatkan integrasi antara rakyat Malaysia merupakan satu usaha yang memerlukan kerjasama dan usaha keras serta kreativiti antara semua rakyat berbilang kaum khususnya para pengetua dan guru besar, pemimpin masyarakat dan pihak NGO di negara ini”.
Bersempena program tersebut, baginda yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada 117 asnaf terpilih selain turut singgah di tiga buah rumah lagi ketika berkayuh yang masing-masing menerima RM600 dengan jumlah penuh disumbangkan pagi ini sebanyak RM72,000.
Ketika di Perlis, semua para bakal penerima Anugerah Pandu Puteri Raja yang merupakan Anugerah tertinggi dalam Program Pandu Puteri yang diberi kepada Pandu Puteri Remaja dan Pandu Puteri Renjer yang berkualiti yang datang dari seluruh pelusuk negara tersebut turut diberi pendedahan menghadiri sesi pengenalan bermain sukan woodball yang mana negeri Perlis bakal menjadi tuanrumah Kejohanan Woodball Dunia (WCWC) pada tahun 2020 nanti di bawah bimbingan para jurulatih daripada Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) yang bakal mewakili Malaysia dalam kejohanan woodbalk Piala Dunia di Chiangmai, Thailand pada bulan hadapan di Laman Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra (KSTSFP) UiTM Arau.
Selepas berbasikal, mereka juga turut diberi pendedahan melawat Galeri Diraja Arau.











