LANGKAWI 2 Jun – Memperkukuhkan Dasar Pandang Ke Timur akan menjadi topik utama perbincangan yang disuarakan oleh Malaysia dalam Persidangan Antarabangsa Masa Depan Ke-24 di Tokyo, Jepun pada 11 dan 12 Jun ini.
Selain itu kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kunjungan rasmi pertama ke luar negara selepas beliau kembali memegang jawatan itu akan turut melihat usaha-usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Jepun.
“Saya pergi ke Jepun setiap tahun untuk bercakap tentang masa depan Asia dalam persidangan anjuran Nikkei-Shimbun.
“Tentu sahaja kali ini saya ke sana sebagai Perdana Menteri baharu. Saya dan Perdana Menteri, Shinzo Abe apabila bertemu kelak akan berbincang untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Jepun.
“Saya akan bercakap lebih tentang Dasar Pandang Ke Timur dan pelaburan dari Jepun,” katanya.
Dr. Mahathir memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pada Februari 1982 semasa menjadi Perdana Menteri keempat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan Langkawi di sini hari ini.
Persidangan tersebut dijadualkan pada 11 dan 12 Jun ini di Tokyo dengan kehadiran pemimpin dari Asia termasuk badan dunia.
Ketika ditanya tentang adakah perbincangan bersama Abe akan menyentuh mengenai usaha memulihkan masalah kewangan negara terutama berkaitan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau bagaimanapun menafikan perkara itu.
“Kita belum sampai ke tahap itu lagi. Kita masih mengkaji implikasi perjanjian pinjaman dan terma pinjaman,” katanya.










