Orang ramai keliru harga rendah GST 0% hanya sementara - Utusan Malaysia

Orang ramai keliru harga rendah GST 0% hanya sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 2 Jun – Rata-rata orang ramai yang ditemui hari ini menzahirkan kelegaan apabila kebanyakan barangan keperluan asas mengalami penurunan harga selepas pelaksanaan kadar sifar peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Tinjauan Utusan Online di Pasar Raya Besar Mydin, Kubang Kerian di sini mendapati orang ramai mengambil peluang membeli-belah berikutan yang memasuki hari kedua di samping faktor cuti hujung minggu.

Walaupun begitu, timbul tanda tanya kepada seorang pekerja swasta, Muhammad Faiz Fauzi, 32, yang kehairanan kerana jualan promosi yang diuar-uarkan hanya berlangsung selama tiga hari sahaja.

“Macam hari ini saya beli lampin pakai buang jenama Drypers memanglah ada beza harga, kalau dahulu RM26, sekarang selepas sifar GST RM24.

“Jenama Baby Like sekarang RM21 kalau dahulu RM23. Cuma saya hairan kenapa harga promosi hanya dinyatakan selama tiga hari iaitu daripada 1 hingga 3 Jun sahaja? Bermakna selepas tarikh itu harga akan naik semula ke?” soalnya ketika ditemui, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Faiz, walaupun harga sabun basuh serbuk mengalami penurunan harga, namun, kuantiti juga semakin berkurangan.

“Harga sabun itu hari ini adalah RM 11 bersamaan 3.8 kilogram (kg), sebelum ini harganya RM 14 bersamaan 4 kg. Harga murah tetapi isi tidak sama banyak seperti dahulu.

“Kalau harga susu segar Dutch Lady bagi kuantiti 900 gram adalah RM 20.50 kalau sebelum ini RM 22 ke RM23,” luahnya.

Bagi suri rumah, Zuraidah Zakaria, 47, harga minyak masak bagi kuantiti 1 kg ada perbezaan sebanyak RM 0.30.

“Sebelum ini saya beli RM 2.80, hari ini sudah RM 2.50 bagi sepeket minyak masak,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Raja Suziana Raja Salleh, 34, mendapati ada perbezaan harga bagi sabun pencuci pinggan mangkuk.

“Sebelum ini dengan jenama sama dan kuantiti 350 gram, saya beli RM4.40, tetapi hari ini agak murah sedikit iaitu RM3.60,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN