SAUDARA PENGARANG,
APABILA berada di atas jalan raya dan melihat kelibat kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pasti ada kenderaan lain mengekori di belakang.
Tak lain tak bukan, itulah kenderaan tonto.
Perkara ini boleh dilihat di mana-mana sahaja seolah-olah tidak akan pihak yang mahu mengambil tindakan terhadapnya. Kenapa perkara ini berlarutan sejak dulu lagi?
Jawapannya ialah tiada penguatkuasaan secara bersepadu melibatkan semua agensi penguat kuasa kerajaan.
Apa yang dimaksudkan penguatkuasaan bersepadu, ia memerlukan tindakan melibatkan JPJ dan polis serta agensi-agensi lain.
Sebenarnya, tindakan tonto mengekori kenderaan JPJ dan adakalanya dengan memandu laju semata-mata hendak mengejar kenderaan JPJ, adalah satu tindakan ‘liar’.
Jika hendak diambil tindakan boleh saja. Saya cadangkan, pihak polis menahan kenderaan tonto tersebut dan lakukan pemeriksaan menyeluruh termasuk keadaan tayar, lampu, cermin gelap, nombor plat, lesen dan sebagainya. Jika didapati ada sahaja kesalahan walaupun kecil termasuk pengubahsuaian, maka saman hendaklah dikeluarkan serta-merta.
Pada masa sama, kenderaan tonto tadi perlulah ditahan bagi tempoh lebih lama. Jika perlu bawa balik ke balai polis berdekatan.
Tindakan seperti ini dianggap perlu supaya pihak-pihak di luar sana (tonto) lebih menghormati polis, JPJ serta agensi-agensi penguat kuasa kerajaan lain seperti Jabatan Hutan, kastam, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.
Mengekori dengan dekat dan memandu laju yang dilakukan oleh tonto membuktikan bahawa mereka tidak pernah menghormati undang-undang jalan raya dan agensi-agensi penguat kuasa kerajaan.
Jika sudah sedemikian perangai mereka, cara untuk mengajar tonto ini ialah tahan dan periksaan kenderaan mereka secara menyeluruh walaupun tindakan ini mengambil masa lama.
Saya yakin tindakan memeriksa secara menyeluruh ini lama-kelamaan akan menyebabkan tonto serik untuk mengekori kenderaan agensi pengua kuasa kerajaan.
Saya juga sarankan agar penguatkuasaan bersepadu ini dilakukan berterusan. Jika kenderaan tonto tadi sempat melarikan diri, nombor pendaftaran yang diperolehi hendaklah disenaraihitamkan. Pemilik kenderaan perlu dipanggil ke balai polis untuk diambil keterangan atau tindakan.
Cadangan saya ini tidaklah ‘kejam’ berbanding tindakan tonto yang lebih ala ‘samseng’ itu. Di negara-negara maju seperti Jepun atau Australia, apakah tonto di sana dapat bermaharajalela?
ANTI-TONTO
Pahang











