KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan notis merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang mendakwa kini berada di United Kingdom.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan mengambil tindakan mengikut proses undang-undang sedia ada ke atas Musa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu dikehendaki susulan dakwaan membuat ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
“Beliau (Musa) telah mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukannya dan PDRM juga telah membuat notis merah Interpol berhubung kejadian ini.
“Tindakan sewajarnya akan di ambil mengikut undang-undang sedia ada sekiranya dia pulang ke Malaysia,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Ops Selamat 13/2018 sempena Aidilfitri di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman di sini semalam.










