KUALA LUMPUR – UMNO hari ini mengumumkan senarai kepimpinan baharu pergerakan tiga sayap parti itu yang menyaksikan antara lain Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad dipilih sebagai Ketua Wanita UMNO bagi penggal 2018-2021.
Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh turut mengumumkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO manakala Datuk Zahida Zarik Khan dipilih menjadi Ketua Puteri UMNO yang baharu.
Ab. Rauf berkata, proses pemilihan berjalan lancar cuma terdapat kelewatan kerana hasil pengundian di bahagian-bahagian UMNO, lambat dimasukkan ke dalam sistem yang disediakan.
“Kita (ibu pejabat) kena teliti keputusan-keputusan dari semua negeri. Ibu pejabat kena pastikan kesemua keputusan disahkan daripada setiap lapisan sebelum boleh dikira dan dijumlah kesemuanya,” kata beliau pada sidang akhbar di sini malam ini.
Perwakilan dari 191 Bahagian UMNO, masing-masing menunaikan tanggungjawab mengundi bagi memilih kepimpinan ketiga-tiga sayap parti itu dengan didahului mesyuarat perwakilan bermula pagi Sabtu dan berakhir tengah malam Sabtu. – Bernama









