KUALA LUMPUR 6 Jun – Exco Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Noor Sabrina Mohd. Noor sedang mempertimbangkan sama ada untuk bertanding bagi jawatan Ketua Puteri UMNO dalam pemilihan sayap parti itu kali ini.
Noor Sabrina yang merupakan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu berkata, beliau sedar terdapat suara-suara akar umbi yang mahukan beliau untuk bertanding jawatan berkenaan, namun beliau perlu memikirkan dengan mendalam perkara itu sebelum membuat keputusan muktamad.
“Saya tengah mempertimbangkan cadangan daripada akar umbi untuk saya bertanding jawatan Ketua Puteri UMNO ini.
“Saya juga perlu lihat kelangsungan UMNO di peringkat Bahagian dan juga Kedah sebab saya menang dalam pilihan raya umum yang lalu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Bharu, banyak perkara perlu saya teliti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Noor Sabrina mengekalkan kemenangan di DUN Bandar Baharu dengan majoriti 377 undi mengalahkan calon PKR, Datuk Azimi Daim dan calon Pas, Rohaizat Jaafar.
Jika Noor Sabrina menawarkan diri untuk bertanding Ketua Puteri UMNO, beliau akan berdepan dengan Datuk Zahida Zarik Khan yang telah mengumumkan bertanding jawatan berkenaan.
Seorang lagi Exco Puteri UMNO, Khaidhirah Abu Zahar juga dikatakan akan bertanding bagi merebut jawatan berkenaan selepas tersebarnya poster beliau menawarkan diri bertanding jawatan tersebut di media sosial semalam.
Menurut Noor Sabrina, Pergerakan Puteri UMNO memerlukan kepimpinan yang terbaik bagi memberi keyakinan terhadap golongan muda untuk kembali menerima UMNO dan Barisan Nasional (BN).











