Nilai juga projek mega di Pulau Pinang – CAP - Utusan Malaysia

Nilai juga projek mega di Pulau Pinang – CAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 31 Mei – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik langkah Kerajaan Pakatan Harapan membatalkan beberapa projek mega ke arah penjimatan negara dan berharap tindakan serupa dipertimbangkan bagi projek-projek mega di negeri ini.

 

Presidennya, S. M. Mohamed Idris (gambar) berkata, antara yang perlu dinilai semula atau ditangguh adalah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri yang dianggarkan menelan kos RM46 bilion.

Menurut beliau, PIP itu termasuk projek terowong dasar laut bernilai RM6.43 bilion; tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau; projek transit aliran ringan dan tiga lebuh raya berkembar dan pembangunan utama di Persiaran Gurney.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut merancang membina kereta kabel ke Bukit Bendera dengan stesen yang bermula di Taman Botani di sini.

Jelasnya, seperti didedahkan sebelum ini, kesemua projek itu membabitkan kos yang tinggi sebagai contoh pembinaan jalan dari Teluk Bahang ke Tanjung Bungah sepanjang 10.5 kilometer dengan anggaran kos RM1 bilion.

“Sedangkan pembinaan jalan itu hanya memendekkan perjalanan kenderaan kira-kira 14 minit sekali gus menjadi antara jalan pa­ling mahal di negara ini jika tidak di dunia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, S. M. Moha­med berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri Pulau Pinang menangguhkan projek PIP dan projek mewah lain sehingga kajian semula dibuat serta dilengkapkan.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan negeri mem­pertimbangkan pelan alternatif untuk pengangkutan yang memberikan tumpuan ke atas pe­ngangkutan awam dan yang lebih murah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN