LONDON – Harapan rakyat Argentina kini disandarkan ke bahu Lionel Messi dan rakan sepasukannya apabila turun beraksi di pusingan 16 pasukan terbaik Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 FIFA berdepan juara 1998, Perancis yang juga pasukan pilihan malam ini.
Dibarisi dengan ramai pemain bintang terutamanya di jentera serangan, Gonzalo Higuain, Sergio Aguero, Angel di Maria dan Paulo Dybala, Argentina dilihat sebagai antara pasukan pilihan yang memiliki gandingan serangan yang digeruni.
Namun, skuad The Albiceleste gagal memenuhi jangkaan itu, sebaliknya dibebani dengan kemarau gol apabila hanya Aguero, Messi dan pemain pertahanan Marcos Rojo sahaja yang menyumbang jaringan, sekali gus menyaksikan mereka bergelut di saingan kumpulan.
Selepas berjaya mara ke pusingan kalah mati ini dengan sedikit faktor nasib, Argentina sekali lagi mengharapkan keajaiban bintang Barcelona, Messi berdepan pasukan pilihan, Perancis malam ini.
Messi memainkan peranan penting ketika kejayaan pasukannya ke atas Nigeria dan jurulatihnya, Jorge Sampaoli pastinya sekali lagi mengharapkan pemain berusia 31 tahun ini sekali lagi mampu membangkitkan semangat juan rakan-rakannya untuk mengetepikan Perancis.
“Leo memiliki visi dan misi yang jelas dalam bola sepak di mana hanya dia yang mampu membuatkan kami melihat apa yang hanya pemain hebat dapat lakukan,” kata Sampaoli.
“Memang sukar untuk duduk sebaris pada tahap seorang pemain hebat sepertinya. Kehebatannya menyinari kami semua dan kami perlu berusaha sedaya upaya untuk berada pada tahapnya.
“Saya jamin Perancis juga ada rancangan mereka untuk mengekang Leo, tetapi kami juga ada rancangan kami iaitu menyenangkan tugasnya, jadi kita akan lihat rancangan mana yang lebih bernasib baik,” jelasnya. – K! ONLINE










