SHAH ALAM – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah menyerahkan nama-nama Ahli Parlimen negeri tersebut untuk dipertimbangkan sebagai menteri dalam barisan Kabinet.
Beliau berkata, nama-nama tersebut adalah bagi mengisi jawatan untuk Menteri dan Timbalan Menteri.
“Kita sudah serah nama mereka yang berkelayakan dan mesti ada wakil dari Sabah (bagi jawatan Menteri dan Timbalan Menteri)
“Namun, terpulang kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (menilai nama-nama itu),” katanya ketika ditemui pemberita pada program majlis berbuka puasa bersama pelajar-pelajar Sabah di Semenanjung Malaysia di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan berapa nama yang dikemukakan untuk pertimbangan itu.
Difahamkan seramai tujuh nama telah diserahkan oleh Shafie kepada Tun Mahathir untuk pembentukan keseluruhan 35 kabinet yang akan diumumkan selewat-lewatnya pada minggu depan.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie mengumumkan pemberian bonus khas Hari Raya AidilFitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam tanpa mengira gred bagi negeri Sabah.
“Ada negeri memberikan bonus sebanyak RM1,000, RM500 dan RM400 namun kerajaan negeri Sabah akan memberikan RM500.
“Pemberian ini akan dilakukan sebelum Hari Raya yang tinggal beberapa hari sahaja lagi,” katanya. – K! ONLINE











