NAYPYIDAW – Myanmar tidak melakukan usaha mencukupi untuk menangani jenayah pemerdagangan manusia, demikian menurut laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) yang meletakkan Naypyidaw pada barisan tercorot senarainya.
Laporan tahunan tersebut yang dikenali sebagai Trafficking in Persons (TIP) menyatakan, kedudukan Myanmar jatuh ke Tahap 3 indeks TIP kerana gagal melindungi orang Islam Rohingnya yang melarikan diri daripada operasi tentera di Negeri Rakhine.
Lebih 700,000 etnik Rohingya melarikan diri daripada tindakan balas tentera Myanmar susulan serangan pemberontak Rohingya ke atas sebilangan pos polis di Rakhine pada Ogos 2017.
Pertubuhan Negara-negara Bersatu (PBB) dan AS mengatakan bahawa kekerasan itu menjurus kepada ‘penghapusan etnik’.
Sebahagian besar etnik Rohingya kini tinggal di kem-kem pelarian yang luas di negara jiran, Bangladesh.
Ramai wanita dan kanak-kanak Rohingya pula menjadi mangsa pemerdagangan manusia, kata laporan itu.
“Etnik Rohingya menjadi mangsa eksploitasi atau dihantar ke negara lain untuk tujuan pelacuran rentetan daripada perpindahan mereka,” kata laporan tersebut.
Menurutnya, terdapat kanak-kanak Rohingya diculik dan dijual untuk tujuan perkahwinan paksa di India, Indonesia dan Malaysia.
“Kerajaan Burma (Myanmar) tidak memenuhi standard minimum dalam membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan tidak melakukan usaha signifikan ke arah itu,” demikian menurut TIP.
Laporan TIP menyenaraikan 187 negara berdasarkan indeks tiga lapisan atau tahap. Kedudukan Tahap 3 boleh membawa kepada sekatan bukan perdagangan oleh Washington.
Myanmar menyertai China, Rusia, Laos, Sudan Selatan dan Korea Utara untuk berada di kedudukan Tahap 3 sekali gus tercorot dalam laporan TIP pada tahun ini. – AFP











