PETALING JAYA: Dua adik beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dan salah guna kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta dibebaskan dengan jaminan.
Sumber memaklumkan, suspek bergelar Datuk Wira telah dibebaskan pada 5 Oktober lalu sebaik tempoh remannya berakhir
“Manakala seorang lagi suspek yang bergelar Datuk Seri dilepaskan hari ini selepas tempoh remannya dilanjutkan selama dua hari sebaik sahaja tamat pada 5 Oktober lalu,” katanya di sini hari ini.
Pada 1 Oktober lalu, kedua-dua suspek telah ditahan reman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain menyita 15 unit kereta mewah bernilai kira-kira RM31 juta.
Turut disita iaitu 12 unit motosikal berkuasa tinggi bernilai kira-kira RM5 juta; lima unit jam tangan mewah, tiga unit gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.
Selain itu, SPRM turut membekukan dua akaun peribadi bernilai kira-kira RM2 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
“Kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM,” jelasnya.-UTUSAN











