RABU lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ada berkata bahawa kerajaan akan melihat semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan mengumpulkan beberapa ilmuwan Islam untuk membincangkan masa depan badan itu.
Kenyataan ini disambut oleh Tawfik Ismail (bekas Ahli Parlimen Sungai Benut antara 1986 hingga 1990) dengan gesaan lamanya agar badan itu dibubarkan atau dimansuhkan terus. Setahun lalu, pada 31 Mei, beliau dipetik oleh sebuah portal berita sebagai berkata: “Jakim tidak perlu (dikekalkan) sebagai badan agama”.
Menurut Tawfik dalam isu sijil halal, Jabatan Agama Islam negeri boleh diberi kuasa mengeluarkannya. Jika kandungan sesuatu produk perlu diperiksa, negara kini ada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian yang mempunyai segala keperluan dan kepakaran. Beliau berpendapat Jakim kini telah melangkaui tujuan asal penubuhannya.
Pada Februari lalu, seorang peguam, Siti Zabedah Kasim menyatakan bahawa adalah lebih baik jika Jakim dibubarkan supaya dana RM1 bilion yang diperuntukkan kepada badan itu boleh digunakan untuk maksud kesihatan rakyat, pendidikan dan infrastruktur negara ini.
Tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah sendiri pernah dipetik oleh portal berita Free Malaysian Today (FMT) pada 1 Februari 2018 sebagai berkata bahawa Jakim adalah satu badan yang tidak berperlembagaan (an unconstitutional body).
Pada 27 Disember 2015 media tempatan memetik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai bertanya mengapa Jakim perlu diperuntukkan bajet sebanyak RM1 bilion setahun.
“Beta ingin tahu mengapa mereka perlu bajet RM1 bilion? Adakah ia termasuk peruntukan kepada semua negeri? Semasa persidangan Majlis Raja-Raja seterusnya, beta mahu mereka tunjukkan kepada beta pecahan perbelanjaan mereka,” titah baginda
Dua tahun kemudian, pada Oktober 2017, Sultan Johor melarang Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) berurusan dengan Jakim, susulan kritikan biadab seorang pegawai badan itu (Zamihan Mat Zin) terhadap baginda. Titah baginda: “Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong, seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain. Kalau betul dia penceramah Jakim, saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia.”
Baru-baru ini, mengambil kesempatan daripada tindakan kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan membubarkan beberapa entiti sedia ada seperti SPAD, JKKP, Jasa dan Majlis Profesor Negara (MPN), beberapa pihak menggesa agar Jakim turut dibubarkan sama. Antara sebab mengapa Jakim wajar dibubarkan adalah kerana ia dilihat mencampuri urusan agama yang terletak di bawah bidang kuasa raja dan sultan serta Majlis Agama Negeri, dan membazirkan kewangan negara.
Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berpendapat Jakim masih relevan dan tidak perlu dibubarkan, sebaliknya diberi penambahbaikan terutama dalam aspek tadbir urusnya. Menurut Naib Presiden badan itu, Burhanuddin Lukman, Jakim memang mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi ini adalah masalah biasa yang dilalui oleh institusi Islam lain.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak setuju Jakim dibubarkan kerana kewujudan dan peranannya diiktiraf oleh pelbagai di luar negara. Sepatutnya peranan Jakim ini dipertingkatkan lagi, tambahnya.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) juga membantah sebarang usaha membubarkan badan itu. Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Jakim sangat diperlukan bagi melaksanakan tugasnya merancang, melaksanakan, menilai dan memajukan perkembangan agama Islam dalam negara. Walau bagaimana pun, beliau mengakui Jakim perlu menyemak prestasi bahagian-bahagiannya supaya tidak timbul pembaziran dan ketirisan.
Pakar undang-undang perlembagaan, Dr. Shamrahayu Abdul Aziz menyatakan bahawa Jakim adalah pada asalnya satu badan sekretariat Majlis Agama Islam yang ditubuhkan pada 1968 dengan persetujuan Majlis Raja-Raja dan kemudian diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Oleh itu, adalah tidak wajar badan itu sekarang hendak dimansuhkan.
Perlu ditegaskan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, perkara ‘Islam’ terletak secara eksklusif di bawah bidang kuasa 13 kerajaan negeri, manakala Kerajaan Persekutuan hanya ada bidang kuasa mengenai perkara “Islam” bagi 3 kawasan kecil (wilayah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).
Di peringkat negeri pada masa ini sudah ada satu Enakmen khusus mengenai pentadbiran agama Islam di negeri berkenaan – contohnya Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003 yang mengandungi peruntukan mengenai Majlis Agama Islam Negeri, Mufti, mahkamah syariah, pendakwaan, kewangan, masjid, memeluk Agama Islam, pendidikan Agama Islam, dan sebagainya. Di peringkat Persekutuan, kita kini ada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (dipanggil Akta 505), dipakai bagi tiga wilayah kecil yang disebutkan di atas tadi.
Kesimpulannya, manakala setiap negeri kini ada enakmennya masing-masing, dan tiga wilayah Persekutuan ada Akta 505, Jakim (yang kuatkuasanya dikatakan melibatkan seluruh negara) tidak berpaksikan apa-apa undang-undang (sama ada enakmen atau akta) kerana sejak awal lagi kewujudannya adalah hasil tindakan eksekutif.
Tidak hairanlah kita kenapa status Jakim itu (sama ada selaras atau bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan) terus dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu. Isu ini perlu diselesaikan segera agar masa depan Jakim dapat dimuktamadkan.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.











