KUANTAN 5 Jun – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) hari ini menerima serahan zakat perniagaan daripada enam agensi korporat yang keseluruhannya bernilai RM3.69 juta.
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad menjadi agensi paling tinggi membuat pembayaran zakat perniagaan iaitu sebanyak RM1.32 juta diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM1.07 juta.
Selain itu, empat lagi agensi yang membuat pembayaran zakat perniagaan adalah Maybank Islamic Berhad (RM864,241.96); Fomema Sdn. Bhd. (RM168,178.23); Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa)(RM148,632.53) dan Celcom Axiata (M) Berhad berjumlah RM113,151.
Zakat perniagaan itu diserahkan kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Yang Dipertua Muip di Istana Abdulaziz, Bukit Istana Kuantan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – UTUSAN ONLINE











