KUALA LUMPUR 1 Jun – Mengambil kira status kewangan negara, Ketua Pegawai Eksekutif, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Seri Shahril Mokhtar (gambar) menyifatkan keputusan kerajaan untuk membatalkan Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) adalah wajar.
Bagaimanapun, beliau berharap, projek yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM40 bilion sehingga RM50 bilion itu perlu diteruskan pada masa hadapan.
“Pembatalan (MRT3) itu bukanlah satu langkah salah, tapi saya berharap apabila defisit fiskal kerajaan berada pada landasan yang betul, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk meneruskan projek itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan di bangunan Ilham di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada soalan pemberita berhubung pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dua hari lalu untuk membatalkan projek MRT3.
Sharil yang akur kepada keputusan kerajaan untuk menghentikan projek itu berkata, MRT3 penting sebagai pelengkap kepada laluan MRT1 dari Sungai Buloh ke Kajang dan MRT2 yang beroperasi dari Sungai Buloh ke Putrajaya.











