MANCHESTER – Pemain tengah Chelsea, Willian berpendapat, pemain baharu Manchester United, Fred akan terus menyinar apabila berada di bawah kendalian Jose Mourinho musim depan.
Willian yang juga rakan sepasukan Fred dalam skuad Brazil di pentas Piala Dunia 2018 mengakui pemain berusia 25 tahun itu mempunyai kualiti tersendiri sebagai pemain tengah.
“Saya langsung tidak ragu-ragu untuk menyatakan bahawa Fred akan menyinar di Old Trafford. Dia mempunyai kualiti tersendiri dan boleh mengembangkan lagi bakatnya itu.
“Saya fikir Fred adalah salah seorang pemain tengah terbaik dunia. Saya gembira kerana dia berhijrah ke England dan berharap dia dapat merealisasikan impiannya di United,” ujarnya.
Sebagai rekod, Fred sah menyertai skuad The Red Devils kelmarin selepas Shakhtar Donetsk bersetuju untuk melepaskannya menerusi yuran perpindahan sebanyak £52 juta (RM277.13 juta).
Terdahulu, Fred turut diintai oleh beberapa gergasi bola sepak yang lain seperti Manchester City serta Liverpool.
Dalam perkembangan lain, Willian enggan membuat sebarang spekulasi mengenai penghijrahannya ke United pada musim hadapan.
“Saya tidak boleh memberi komen mengenai masa depan saya kerana mahu fokus di pentas Piala Dunia. Walaupun di Chelsea saya sering berada di bangku simpanan, saya tetap menghormati segala keputusan yang dibuat oleh jurulatih.
“Biar masa yang menentukan sama ada saya akan kekal atau tidak di Stamford Bridge,” jelasnya. – Agensi











