BARU-BARU ini saya ada terbaca kisah adik Akmal Haziq Suhaimi, 10, yang koma selama dua minggu akibat kemalangan pada 6 Mac lalu di Bera, Pahang.
Kanak-kanak malang itu didakwa dilanggar oleh motosikal peronda polis berhampiran rumahnya. Akmal Haziq mengalami pendarahan yang serius di bahagian kepala dan terpaksa menjalani pembedahan di belakang kepala.
Di kesempatan bulan Syawal ini, saya terpanggil untuk menulis agar kita bersama-sama berdoa dan membantu keluarga kanak-kanak malang ini memandangkan ibunya cuma seorang suri rumah dan ayahnya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Mereka memerlukan kos untuk memasukkan tempurung tiruan yang dianggarkan mencecah RM5,000 hingga RM6,000 dalam masa terdekat. Keluarga ini juga masih menanggung lapan orang ahli keluarga.
Sekiranya kita telah bersiap-siap menyediakan sampul raya untuk kanak-kanak datang berkunjung ke rumah sempena sebulan menyambut hari raya, apa kata kita hulurkan sedikit sumbangan untuk meringankan beban keluarga ini.
Difahamkan kes ini juga telah mendapat perhatian ADUN Guai, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman yang menziarahinya baru-baru ini.
ROBIN HOOD
Putrajaya










