PEKAN – Datuk Mohd. Nizar Najib yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan menggantikan Datuk Shahruddin Ahmad yang mengisi jawatan itu bagi tempoh penggal lalu.
Beliau meraih jawatan tersebut tanpa bertanding selepas tidak dicabar pada Pemilihan Sayap UMNO Bahagian yang diadakan serentak di seluruh negara, semalam.
Mengulas kemenangan tersebut,
Mohd. Nizar berkata, beliau berasa bersyukur kerana terpilih untuk memikul peranan tersebut dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO sejurus mencatat prestasi terburuk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang diadakan 9 Mei lalu.
“Saya lihat sokongan dan semangat juang pemimpin UMNO masih kuat dan tidak terhenti.
“Mereka begitu komited dan membuktikan UMNO masih relevan. Apa yang perlu dilakukan kini ialah membuang sikap angkuh, politik wang serta segala yang negatif selain cuba memenangi kembali hati anak muda,” ujar beliau.
Sehubungan kemenangan itu, Mohd. Nizar menyeru semua ahli UMNO bersatu dan bekerjasama untuk meraih semula keyakinan generasi muda di negara ini.
“Kita perlu turun padang untuk mendengar aspirasi golongan muda supaya dapat menarik lebih ramai untuk mengikuti wadah murni parti keramat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pekan di Dewan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang di sini semalam.
Bagi proses pemilihan pimpinan sayap UMNO di bahagian ini, kira-kira 500 ahli hadir membuang undi untuk memilih perwakilan baharu.
Mengulas lanjut, Mohd. Nizar berkata, fasa ini amat penting kepada UMNO untuk menjadi pembangkang yang kuat serta mampu memperjuangkan masalah rakyat dengan berkesan.
“Apabila UMNO kalah, ia sesuatu yang kita tidak suka, tetapi mungkin ia juga baik bagi kita. Sekarang, kita perlu menjadi pembangkang yang berwibawa.
“Saya merayu kepada ahli dan pucuk pimpinan UMNO agar merapatkan saf kerana kita berjuang demi parti yang memperjuangkan agama Islam dan bangsa,” katanya. – K! ONLINE










