KUALA LUMPUR 25 Jun – Penyanyi yang juga ahli perniagaan, Mila Jirin, 31, bercadang untuk bersemuka dengan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran bagi membincangkan isu pengambilan tukang masak tempatan yang diumumkannya baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Mila atau nama penuhnya Norsyarmilla Jirin turut mengajak pengusaha restoran ala Thai untuk turut sama menyertai sesi dialog berkenaan yang diharapnya dapat dilaksanakan dalam kadar segera.
“Saya mengusulkan cadangan ini bagi mewakili pengusaha restoran yang menyajikan makanan tradisi Thailand seperti tomyam kerana terkesan dengan kenyataan yang dibuat oleh menteri tersebut.
“Jujurnya, sebagai pengusaha restoran ala Thai yang menggunakan khidmat tukang masak warga asing berasal dari negara itu, kenyataan Kulasegaran itu adalah sesuatu yang tidak wajar,” jelasnya yang mempunyai sebuah restoran tomyam di Puchong, Selangor itu.
Mila yang juga jutawan katering itu berpendapat bahawa implementasi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini telah banyak menimbulkan masalah kepada perniagaannya.
“Justeru, saya harap kerajaan sekarang membuat pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira pendapat secara kolektif sebelum rang undang-undang baharu dilaksanakan.
“Sepanjang mengusahakan bisnes ini selama enam tahun, saya pernah menggunakan khidmat kedua-dua tukang masak sama ada cef tempatan mahupun warga asing.
“Namun, kualiti kerja yang ditonjolkan tukang masak luar lebih memuaskan sementelah orang kita tidak selesa dengan kadar gaji dan tuntutan masa kerja di restoran,” katanya.
Malah, pemilik syarikat katering Bizmilla itu juga sedia menaja lokasi untuk menganjurkan sesi dialog tersebut dan usahawan yang ingin menyertai boleh menghubunginya menerusi alamat e-mel [email protected].
Terdahulu, Kulasegaran dalam satu kenyataannya mengumumkan mulai 2019, restoran tempatan diminta menggunakan khidmat tukang masak tempatan. – UTUSAN ONLINE










