KUALA LUMPUR 1 Jun – Jumlah timbalan menteri di sesebuah kementerian akan ditentukan oleh menteri yang memegang portfolio berkenaan, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri buat masa ini tidak dapat memutuskan jumlah timbalan menteri yang diperlukan oleh Kabinetnya.
“Kita akan beri hak kepada menteri sama ada perlukan timbalan atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya dekat sini, hari ini.
Sebelum itu, mesyuarat yang diadakan hampir dua jam turut dihadiri Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang buat pertama kalinya menyertai mesyuarat berkenaan sejak dibebaskan daripada penjara pada 16 Mei lalu.
Sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei lalu, Dr. Mahathir melantik 13 menteri dan akan mengumumkan beberapa lagi menteri untuk mengisi jawatan portfolio penting seperti Kementerian Luar.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir menganggap adalah tidak adil untuk mengatakan kerajaan baharu tidak konsisten dalam urus tadbirnya kerana baru tiga minggu membentuk pentadbiran.
“Pelabur tidak perlu risau tentang konsistensi kerana kerajaan baru tiga minggu dibentuk. Kami mahu menjadi konsisten dan mesra perniagaan terhadap sesiapa tidak kira pelabur domestik atau asing.
“Setiap pelabur akan dilayan dengan adil dan jika timbul masalah, kami akan menyelesaikannya,” katanya.
Dr. Mahathir juga menolak dakwaan beliau tidak berbincang dengan Kabinet sebelum mengumumkan pembatalan pembinaan Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura kerana pembatalan projek telah diputuskan sejak awal lagi.
“Isu pembatalan itu sebahagian daripada kempen kami. Saya tidak akan terkeluar daripada keputusan yang telah dibuat oleh parti hanya kerana saya tidak dapat membentuk Kabinet lebih awal,” katanya.
Ketika ditanya mengenai rancangan kerajaan untuk memperkasakan undang-undang pencegahan aktiviti keganasan, Dr. Mahathir berkata, beliau belum selesai sepenuhnya dalam pembentukan kerajaan dan akan memberi tumpuan kepada perkara itu kemudian.










