PETALING JAYA – Menteri akan diberikan hak untuk menentukan sama ada mereka memerlukan timbalan ataupun tidak, kata Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Timbalan (menteri), kita tidak tahu berapa banyak, tapi kita akan beri hak kepada menteri sama ada dia perlu kepada timbalan ataupun tidak,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini semalam.
Setakat ini, 13 kementerian telah diwujudkan dengan kesemua menterinya telah mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di Istana Negara pada 21 Mei lalu.
Ia termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.










