WALAUPUN UMNO/Barisan Nasional (BN) telah kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), serangan, cemuhan dan propaganda terus dibuat terhadap UMNO terutamanya terhadap sesetengah pimpinan parti itu. Inilah yang masih kedengaran dan boleh dibaca dalam media-media sosial khususnya. Ini menggambarkan pihak yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan UMNO/BN masih belum berpuas hati sehinggalah melihat UMNO terus terkubur dan tidak mampu lagi bangkit dari kekalahan yang telah berlaku pada PRU-14.
Krisis dan defisit kepercayaan yang dulunya dikongsi oleh 68 peratus pengundi yang tidak mengundi BN kini selepas PRU-14 mungkin dikongsi juga oleh sebahagian 32 peratus pengundi-pengundi yang mengundi BN pada PRU-14 termasuk di dalamnya adalah ahli-ahli UMNO sendiri.
Corak pengundian dan kajian mengikut kerusi-kerusi bagaimanapun masih menunjukkan UMNO masih mencatat hampir 50 peratus sokongan dan undi dari pengundi-pengundi Melayu dan kemenangan Pakatan Harapan (PH) sangat bergantung kepada sokongan padu pengundi-pengundi bukan Melayu kepada PH dicampur dengan sokongan lebih kurang 30 peratus pengundi Melayu yang sudah cukup membolehkan PH menubuhkan kerajaan dengan 113 kerusi Parlimen yang dimenangi PKR, DAP, PPBM dan PAN.
Apa yang penting kini adalah bagaimana UMNO bangkit daripada kekalahan ini. Ini kerana kekalahan yang dilalui ini dibawa bersama defisit kepercayaan dan terhakisnya keyakinan rakyat kepada UMNO dan barisan kepimpinan yang sedia ada.
UMNO perlu meneruskan perjuangan dan segera bangkit daripada kekalahan ini bagi mengekalkan kepercayaan dan sokongan hampir 50 peratus pengundi-pengundi Melayu terutamanya kepada parti ini. Maka pemilihan UMNO yang akan diadakan pada 30 Jun ini adalah medan yang amat penting sekali dan bakal menjadi titik tolak kebangkitan UMNO yang diharap-harapkan.
Ahli-ahli parti perlu menilai semula kedudukan mereka dan memberikan fokus kepada membantu mengukuhkan UMNO terlebih dahulu. Amat penting untuk menghentikan serangan kepada parti sendiri dan perlu lebih banyak memberikan pandangan-pandangan yang bersifat positif dan membina agar semangat dan keyakinan ahli-ahli UMNO dan rakyat dapat dipulihkan.
Masa untuk menuding jari dan mencari kesalahan perlu dihentikan segera sebaliknya inilah masa untuk menyatakan sokongan dan dorongan kepada pemimpin-pemimpin yang bersih dan dilihat rakyat sebagai berwibawa dan ada integriti yang tinggi untuk diangkat dan dipilih sebagai pimpinan parti bukan sahaja di peringkat pusat tetapi juga di peringkat bahagian dan cawangan.
Ada sesetengah pandangan mengatakan seharusnya dipilih pemimpin-pemimpin yang telah menang pada PRU-14 sebagai pemimpin-pemimpin parti pada pemilihan 2018. Namun pandangan ini tidak wajar kerana kekalahan dan kemenangan calon-calon BN bukan hanya bergantung kepada kredibiliti calon itu semata-mata.
Yang lebih besar adalah bergantung kepada kecenderungan pengundi-pengundi yang lebih terkesan dengan isu-isu semasa dan nasional yang menjadi bahan kempen utama PH di samping janji-janji dalam manifesto yang jelas dapat dilihat dalam media-media sosial dan bahan-bahan kempen PH semasa PRU-14.
Pola pengundian bukan Melayu dan peratusan pengundi mengikut kaum juga perlu diambil kira sepenuhnya sekiranya kesimpulan bahawa calon BN yang menang sahaja wajar untuk dipilih hendak dibuat. Memenangi hati rakyat menjadi tema penting bagi kebangkitan UMNO dan memilih pemimpin-pemimpin yang mempunyai latar belakang yang baik, pandangan dan penilaian masyarakat dan rakyat yang baik, tidak terkait dengan mana-mana skandal dan penyelewengan sama ada yang masih disiasat mahupun yang sedang diperkatakan oleh rakyat secara umumnya dan berkeupayaan untuk memperjuangkan dan berhujah dengan pelbagai isu semasa dan isu-isu yang akan menjejaskan kepentingan rakyat.
UMNO masih mempunyai struktur politik yang masih kukuh. Jika kita melihat kepada pemilihan di peringkat cawangan-cawangan yang baru sahaja selesai, jumlah kehadiran ahli-ahli cawangan masih memberangsangkan walaupun mesyuarat cawangan dibuat semasa bulan Ramadan. Jumlah ahli-ahli yang menawarkan diri untuk pemilihan parti untuk pelbagai jawatan sama ada di peringkat bahagian mahupun pusat juga menunjukkan jumlah yang ramai.
Ini jelas membuktikan bahawa semangat perjuangan UMNO masih belum luntur dan mudah-mudahan minat, semangat dan azam yang ditunjukkan ini akan terus membara walaupun selepas pemilihan terutamanya kepada calon-calon yang kalah bertanding.
Isu-isu berkepentingan Islam Melayu perlu menjadi fokus kepada perjuangan UMNO terutamanya sebagai sebuah parti pembangkang dengan jumlah kerusi yang besar di dalam Parlimen. PH pula sedang dan akan berdepan kedudukan yang amat sukar untuk mereka merencanakan dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan BN terdahulu yang lebih banyak memberikan keutamaan kepada Islam dan Melayu.
Ini akibat komposisi parti-parti yang membentuk PH dengan PKR dan DAP yang masing-masing memiliki 47 dan 42 kerusi parlimen mempunyai dasar parti yang jauh berbeza dengan UMNO manakala selepas PRU-14 jumlah ahli Parlimen bukan Melayu Islam lebih ramai berbanding ahli Parlimen Melayu Islam di dalam kerajaan PH ketika ini. Kontrak sosial hakikatnya adalah asas penting untuk UMNO bangkit semula. Ia merupakan satu permuafakatan yang dicetuskan dan diilhamkan bagi memastikan negara ini terus makmur, aman dan maju.
Selain itu UMNO perlu mula mencungkil bakat-bakat pemimpin baharu untuk diangkat sebagai pimpinan muda parti pembangkang supaya boleh dengan lantang mengkritik kerajaan PH dengan fakta-fakta yang jelas dan hujah-hujah yang mampu menarik sokongan rakyat. UMNO juga perlu memulakan gerak kerja menubuhkan satu pakatan pembangkang baharu dengan parti-parti yang tidak berada dalam kerajaan PH seperti Pas dan parti-parti komponen BN yang lain dan perlu bersedia untuk bergabung di dalam satu nama pakatan baharu contohnya dengan nama Perikatan Sejahtera.
Secara positifnya dengan kekalahan UMNO pada PRU-14 membuka ruang transformasi dan pembentukan semula UMNO yang pastinya akan menjadi lebih baik dan sekiranya kembali diberikan kepercayaan membentuk kerajaan akan menjadi parti harapan orang Islam Melayu membela dan terus memperjuangkan hak dan kepentingan Islam dan Melayu di negara ini.
PENULIS ialah penganalisis politik.










