MEMORANDUM: MENDAULATKAN BAHASA MELAYU DALAM PENTADBIRAN KERAJAAN MALAYSIA
PRAKATA
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan 22 buah badan gabungannya (Kerabat) dan anggota Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang bersidang bersama pada 27 Jun 2018 di Rumah GAPENA, Kuala Lumpur bersepakat dan berpendapat bahawa kami amat perlu menyatakan sejelas-jelasnya hasrat dan pandangan kami terhadap kenyataan media YB. Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia yang disampaikan dalam bahasa Mandarin baru-baru ini. Pandangan kami di atas berlandaskan asas-asas pertimbangan berikut:
1 .1. Asas Pertimbangan
Memahami akan kedudukan rasmi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan natijahnya terhadap kreativiti kesusasteraan, daya cipta kebudayaan dan perantaraan pendidikan, penggunaan umum serta perlaksaannya di dalam kehidupan warganegara Malaysia, seperti termaktub di dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) dan Sistem Pelajaran Kebangsaan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550),
Mendukung teras bahasa kebangsaan, kesusasteraan kebangsaan dan kebudayaan kebangsaan melalui sistem pendidikan kebangsaan dalam pembinaan dan peneguhan peradaban Malaysia pada masa lampau, masa kini dan masa depan.
Meyakini bahawa hanya dengan pemeliharaan dan pemerkasaan bahasa kebangsaan, kesusasteraan kebangsaan, kebudayaan kebangsaan dan sistem pendidikan kebangsaan yang dapat melangsungkan kewujudan negara dan bangsa Malaysia yang berdaulat, maju, aman dan utuh di mata dunia.
Maka inilah GAPENA, para Kerabat dan gabungan ahli dalam Majlis Perundingan Melayu membuat ketetapan-ketetapan berikut sebagai pernyataan pandangan serta desakan untuk pertimbangan YB Menteri Kewangan Malaysia:
1 .2. Ketetapan-Ketetapan
1 . 2. 1 . Bahasa Kebangsaan: Selaras dengan pelbagai peruntukan perundangan, maka kerajaan Malaysia kini wajib memenuhi ikrar dan tanggungjawabnya tatkala menerima perlantikan sebagai Jemaah Menteri di hadapan DYMM YDP Agong serta semua jemaah Exco Negeri di hadapan Raja-Raja dan Yang DiPertua Negeri untuk memastikan perlaksanaan mutlak semua peruntukan perundangan itü terhadap kedudukan, martabat, kegunaan dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Negara dari segi pendidikan, pentadbiran negara, perundangan, perdagangan, urusan ekonomi, sains dan teknologi serta penciptaan ilmu dan di dalam pergaulan kalangan seluruh warganegara pada semua lapisan masyarakat, peringkat penempatan dan juga tahap kelompok sosio-budaya demi mencapai perpaduan menyeluruh dan kemajuan sama rata warganegara Malaysia.
1 .2.2. Rukun Negara: sudut politik kebudayaan, Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong ke IV sebagai nilai teras atau ideologi negara untuk membina sebuah bangsa Malaysia. Maka amat wajar Rukun Negara itu diamalkan dengan mendidik semua lapisan masyarakat memahami dan merujuk kepadanya dalam pelbagai ruang kehidupan terutama di dalam semua tahap sistem pendidikan negara.
1 .2.3. Sistem Pendidikan: Akta 550 atau Akta Pendidikan 1996 adalah tahap perkembangan terakhir bagi sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia. Selama 60 tahun sistem itu telah berjaya membangun sebuah bangsa Malaysia berlandaskan bahasa kebangsaan, kandungan kurikulum kebangsaan dan pembinaan ilmu dalam teks kebangsaan serta perpaduan kebangsaan. Gagasan lain yang diperkenalkan dalam pendidikan mengganggu pencapaian sistem pendidikan itu sehingga membawa natijah parah dan kegagalan terutama dalam kalangan para pelajar Bumiputera serta Luar bandar.
1 .2.4. Bahasa-bahasa ibunda patut digalakkan sebagai landasan untuk membina sahsiah awaL dalam kalangan kanak-kanak dan memperkaya pengalaman para pelajar dan warganegara Malaysia di dalam sistem kebudayaan yang amat beragam yang dapat pula memelihara jatidiri budaya serta menggalakkan pengayaan budaya dan kehidupan dalam kalangan warganegara.
Berdasarkan ketetapan yang dinyatakan di atas, maka dengan ini kami menyampaikan desakan kepada YB Tuan Lim Guan Eng iaitu:
2.1. Menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi pentadbiran kerajaan Malaysia sama ada dalam bentuk penulisan mahupun pengucapan;
2.2. Menarik balik semua dokumen yang telah ditulis dalam bahasa Mandarin atau lain-lain bahasa sebagai dokumen rasmi kerajaan Malaysia;
2.3. Kementerian Kewangan yang diterajui YB Tuan Lim Guan Eng hendaklah menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan Malaysia;
2.4. Menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan;
2.5. Menjadi contoh kepimpinan yang mengutamakan penggunaan bahasa Melayu.
Sekian. Terima kasih.
Memorandum disampaikan kepada YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan Malaysia pada 29 Jun 2018 (Jumaat) di pejabat YB Menteri Kewangan Malaysia, Putrajaya dan ditandatangani bersama bagi pihak GAPENA dan Majlis Perundingan Melayu:
Tun Hanif Omar, Penasihat MPM
Amiruddin Md Ali Hanafiah, Ketua Dua GAPENA
Dato’ Dr. Hassan Mad, Setiausaha MPM











