ALOR SETAR 2 Jun – Usahkan para penyokong, malah jurulatih Melaka United sendiri, E. Elavarasan mengakui tidak menyangka yang pasukannya mampu untuk menjinakkan Lang Merah di Stadium Darul Aman, malam tadi.
![]() |
|
Melaka United
|
Tidak menolak kemungkinan kemenangan itu akan menjadi titik tolak kebangkitan pasukan setelah sekian lama berada dalam kelompok terbawah liga, beliau yang baru saja menggalas tanggungjawab itu bulan lalu menyifatkan kemenangan itu akan membakar semangat pemain untuk menampilkan aksi lebih baik bagi mendaki tangga liga.
“Jujurnya saya tak sangka kita akan menang 2-0. Tetapi para pemain saya jelas tahu apa yang perlu dibuat dan apabila mereka bermain mengikut perancangan, maka itulah hasilnya.
“Jika semangat ini dikekalkan, saya yakin kita akan keluar dari kelompok terbawah liga seperti dihasratkan. Saya yakin itu akan berlaku dengan kita masih lagi menanti pemain import baharu untuk dibawa masuk bagi memperkukuhkan pasukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu berakhir.
Gol Melaka United pada perlawanan itu dijaringkan pemain import Egor Zubovich pada minit ke-42 dan Lee Chang-hoon pada minit terakhir perlawanan.
Sementara itu pengendali Kedah, Muhammad Nidzam Adzha Yusoff menyifatkan kegagalan para pemain untuk memanfaatkan beberapa peluang terhidang terutamanya pada separuh masa kedua membuatkan Kedah terpaksa menanggung kekalahan.
“Pada separuh masa pertama jelas para pemain gagal mempamerkan aksi sebenar sehingga memaksa saya membuat dua pertukaran dengan mengeluarkan Sandro Da Silva dan Andik Vermansyah untuk digantikan dengan Akhyar Rashid dan Akram Mahinan bagi memulakan babak kedua.
“Jelas aksi ditampilkan menjadi lebih bertenaga pada separuh masa kedua namun peluang terhidang gagal dimanfaatkan sebaiknya. Sebaliknya Melaka walaupun mereka jelas datang hanya untuk seri dengan menampilkan permainan kompak dan bertahan, bijak mengambil peluang menghukum kesilapan kami,” katanya.











