ALOR SETAR – Semangat pemain untuk berjaya menjadi antara faktor pasukan Melaka United dapat menewaskan Kedah 2-0, sekali gus memperoleh tiga mata pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.
Ketua Jurulatih Melaka United, E. Elavarasan berkata pemain bermain dengan begitu baik mengikut taktikal dirancangkan untuk perlawanan itu sehingga menjaringkan satu gol pada permainan separuh masa pertama yang memberikan kelebihan kepada pasukan bawahan liga itu sekali gus berupaya mendapatkan satu gol lagi semasa separuh masa kedua.
“Perlawanan ini saya pun tidak sangka akan dapat 2-0…saya rasa pemain tahu paling penting untuk kita sekurang-kurangnya dapat satu mata, tetapi apabila dapat tiga mata (malam tadi), ia akan naikkan kita punya tangga (kedudukan) sekali gus meningkatkan lagi semangat pemain untuk berjaya selepas ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.
Elavarasan berkata pemain mendapat suntikan semangat itu daripada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, Datuk Mohd Yusof Mahadi Khamis lepas yang memberikan kata-kata semangat supaya bermain sebaik mungkin sekali gus berupaya memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.
“Separuh masa kedua saya lihat sudah 50-50 yang mana perlawanan akan jadi satu sama ataupun akan dapat lebih lagi, kita dapat banyak peluang, Kedah juga saya rasa dapat banyak peluang untuk menyamakan gol tetapi nasib menyebelahi kita hingga dapat tiga mata yang lebih penting buat kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau optimis yang pasukannya itu mampu meningkatkan kedudukan dalam carta Liga Super sekali gus keluar daripada kelompok pasukan bawahan liga itu.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata, corak permainan pada separuh masa pertama kurang efektif namun pemain mempunyai banyak peluang menjaringkan gol ketika separuh masa kedua selepas menukar corak permainan.
Beliau berkata bagaimanapun nasib tidak menyebelahi pasukan itu malam tadi hingga kalah kepada Melaka United.
“Kalau tidak silap ada empat atau lima peluang untuk jaringkan gol (pada separuh masa kedua), tetapi kalah pada malam ini antaranya atas faktor nasib juga tidak menyebelahi kita,” katanya. – Bernama










