KUALA LUMPUR – Mekanisme deklarasi harta oleh anggota pentadbiran kerajaan masih dalam peringkat perbincangan dan keputusan muktamad hanya akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang akan datang.
Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, aspek deklarasi harta oleh anggota pentadbiran adalah antara perkara yang akan dibincangkan dengan terperinci pada mesyuarat itu, yang dijangka diadakan sebelum persidangan Parlimen bermula.
“Pada mesyuarat JKKMAR pada 8 Jun lalu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri telah menzahirkan komitmen beliau dan kerajaan untuk membincangkan perkara berkaitan dengan mekanisme deklarasi harta dan pemberian hadiah dalam kadar yang segera,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga mencadangkan supaya maklumat deklarasi harta oleh anggota-anggota pentadbiran kepadanya turut diserahkan kepada agensi-agensi pencegahan rasuah.
“Sehubungan itu, GIACC mengalu-alukan sebarang cadangan, pandangan dan input bagi mewujudkan mekanisme yang lebih efektif berkaitan dengan deklarasi harta oleh anggota pentadbiran,” katanya. – Bernama










