MEDEVAC TUDM berkhidmat untuk semua - Utusan Malaysia

MEDEVAC TUDM berkhidmat untuk semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTILAH ‘MEDEVAC’ jarang didengari oleh kalangan ma­syarakat. Istilah tersebut me­rupakan singkatan kepada Medical Evacuation iaitu pro­ses pemindahan anggota tentera dari satu-satu kawasan terutama sewaktu pertempuran.

Walau bagaimanapun, dalam suasana negara yang aman, operasi MEDEVAC lebih tertumpu kepada pesakit dalam kalangan masyarakat awam lebih-lebih lagi membabitkan penduduk di kawasan pedalaman.

Bagi Asisten Ketua Staf A5 Markas Pemerintahan Operasi Udara, Kolonel Tong Veng Leong, operasi MEDEVAC melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan antaranya keadaan pesakit atau pengesahan daripada doktor sebelum keputusan dibuat Panglima Tentera Udara (untuk menerbangkan pesakit bagi mendapatkan rawatan).

Katanya, operasi MEDEVAC juga bergantung kepada empat kategori iaitu operasi yang dilakukan secepat mungkin, operasi dalam tempoh 24 jam, operasi dalam tempoh tujuh hari dan operasi yang dapat dilaksanakan apabila berpeluang.

“Doktor perlu sahkan keada­an pesakit sama ada individu ter­sebut boleh dibawa atau tidak kerana tekanan udara berbeza.

“Keluarga pesakit juga perlu menandatangani borang khas supaya tidak ada tindakan diambil kepada TUDM jika berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, Veng Leong berkata, aset yang digunakan TUDM dalam operasi MEDEVAC antaranya pesawat CN-235, C-130 atau A400M untuk ope­rasi besar-besaran dan helikopter EC725 serta Nuri untuk membawa tidak lebih dua pesakit dalam satu-satu masa.

Katanya, pusat operasi MEDEVAC TUDM juga bergantung kepada skuadron yang ditugaskan melaksanakan misi ber­kenaan mengikut pangkalan tertentu.

“TUDM lancarkan operasi dari pangkalan asal dan pesawat bergerak ke tempat misi. Apa yang penting adalah kawasan mendarat mesti mengikut ke­sesuaian jenis pesawat,” kata­nya.

Sementara itu, Veng Leong berkata, antara cabaran yang perlu dihadapi kru dan juruterbang ketika melaksanakan operasi MEDEVAC adalah cuaca.

“Kami boleh bergerak ketika malam kerana aset TUDM ada kelengkapan alat pandang malam (NGV). Tetapi kita tidak boleh melawan hukum alam terutama cuaca yang tidak menentu.

“Kadangkala cuaca di tempat berlepas tidak sama di tempat lain. Jadi kami akan mencari kawasan perlindungan terlebih dahulu,” jelasnya.

Mengulas lanjut Veng Leong berkata, di Malaysia, banyak agensi yang mempunyai kepakaran untuk melakukan MEDEVAC termasuk Agensi Pe­nguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN