LONDON – Pasukan McLaren dilaporkan telah menawarkan pendapatan bernilai AS$20 juta (RM79.984 juta) kepada pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo sekiranya mahu menyertai mereka pada saingan Formula Satu (F1) musim depan.
![]() |
|
RICCIARDO merupakan pelumba paling hangat di pasaran ketika ini selepas beberapa pasukan gergasi memburu khidmatnya sebaik sahaja kontraknya bersama Red Bull tamat penghujung musim ini.
|
Sebelum ini, Red Bull memberi fokus dan memutuskan memilih Honda sebagai pembekal enjin baharu kepada pasukan tersebut dan kini mereka mengalih tumpuan kepada pelumba kelahiran Australia ber-kenaan yang bakal tamat kontrak pada penghujung kempen 2018.
Menurut laporan di Jerman, pelumba berusia 28 tahun itu ditawarkan pendapatan lumayan agar dia sedia beralih kepada pasukan yang berpangkalan di Woking, England dan meneruskan pemanduan menggunakan unit kuasa Renault.
Penasihat pemotoran Red Bull, Dr. Helmut Marko turut mengakui pelbagai usaha dilakukan oleh McLaren untuk mendapatkan Ricciardo, namun dia masih dengan sikap tunggu dan lihat.
“Ricciardo sememangnya tengah hangat di pasaran sekarang ini, malah McLaren sentiasa meningkatkan jumlah tawaran kepadanya setiap minggu. Tapi Ricciardo belum mahu memutuskan perkara tersebut sehingga Lewis Hamilton (pelumba Mercedes) melakukan (kontrak) terlebih dahulu.
“Situasi ini sememangnya kedengaran agak pelik. Bagaimanapun, saya berharap ia tamat de-ngan secepat mungkin,” ujarnya
Sementara itu, kedua-dua pelumba McLaren, Fernando Alonso dan Stoffel Vandoorne juga bakal tamat kontrak pada penghujung musim ini tetapi terdapat pilihan untuk mengekalkan kedua-dua pemandu tersebut. – Agensi











