MBSA sedia 164 tong RORO percuma sempena Aidilfitri - Utusan Malaysia

MBSA sedia 164 tong RORO percuma sempena Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menyediakan perkhidmatan tong sampah pukal ‘Roll On Roll Off’ (RORO) bagi memudahkan orang ramai membuang perabot lama dan barangan elektrik yang tidak digunakan lagi. 

Ketua Bahagian Komunikasi dan Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, sebanyak 164 buah tong RORO bersaiz tiga tan akan diletakkan di kawasan sekitar Shah Alam iaitu di Seksyen 1 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20.

Beliau berkata, perkhidmatan yang akan memudahkan orang ramai membuang barangan seperti almari, sofa, tilam, katil dan peti ais itu bermula 28 Mei lalu sehingga 10 Jun ini.

“Tujuan pelaksanaan perkhidmatan tong RORO ini adalah untuk memberikan kemudahan kepada penduduk melaksanakan aktiviti gotong-royong secara persendirian di setiap kediaman masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Shahrin berkata, penyediaan perkhidmatan berkenaan juga bertujuan memberikan didikan kepada warga Shah Alam tentang pengurusan sampah pukal dengan cara yang betul.

Katanya, MBSA berharap agar penduduk memberikan kerjasama dengan meletakkan sampah pukal tersebut di dalam tong RORO yang disediakan bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan selain bagi menjaga kebersihan kawasan sekitar.

“Kita berharap tiada lagi kes sampah-sampah pukal dibuang merata-rata di tempat awam hingga mencemarkan pemandangan,” katanya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN