MBSA edar 745 topi keledar sempena kempen Selamat Balik Kampung - Utusan Malaysia

MBSA edar 745 topi keledar sempena kempen Selamat Balik Kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengedarkan sebanyak 745 topi keledar percuma sempena Kempen Selamat Balik Kampung 2018 di sekitar bandar raya ini. 

Menurut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad, pada tahun ini, kempen tersebut diadakan di Jalan Opera AU2, TTDI Jaya Seksyen U2. 

 “Sebanyak 500 unit topi keledar dewasa dan 100 unit topi keledar kanak-kanak telah diberikan secara percuma kepada orang ramai sumbangan daripada pihak SIRIM QAS International Sdn. Bhd. 

 “Sebagai tambahan, pihak MBSA juga turut memberikan secara percuma 85 unit topi keledar kanak-kanak dan 60 topi keledar dewasa,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kesemua topi keledar kepada penunggang motosikal di sini hari ini. 

Ahmad Zaharin berkata, topi keledar yang disediakan menepati ciri-ciri keselamatan yang telah diluluskan oleh pihak SIRIM QAS International Sdn. Bhd. 

Jelasnya, kempen sedemikian turut mendapat kerjasama dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Selangor dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Kempen yang telah dilaksanakan sejak tahun 2011 ini merupakan komitmen berterusan oleh pihak MBSA bagi menggalakkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung sempena musim perayaan agar mementingkan keselamatan diri terutamanya penunggang motorsikal yang sering menjadi mangsa kemalangan jalan raya. 

“Selain itu, kempen ini juga bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai penjagaan keselamatan di jalan raya dan memberi pendedahan kepada penunggang motosikal khususnya terhadap kepentingan penggunaan topi kaledar,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN