MAYC gerakkan sukarelawan baik pulih bangsal kambing - Utusan Malaysia

MAYC gerakkan sukarelawan baik pulih bangsal kambing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) akan menggerakkan sukarelawannya bagi membantu membaik pulih bangsal kambing yang dijadikan tempat berteduh ibu tunggal tujuh beranak di Kampung Batu 5 di sini.

Presidennya, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, bantuan itu diberikan sementara keluarga Ruslida Kamarazaman, 36, mendapat kediaman baharu yang selesa daripada pihak berwajib.

Katanya, pihaknya dimaklumkan ibu tunggal bersama anak mereka tidak mahu berpindah ke kawasan lain walaupun terdapat pihak yang menawarkan bantuan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami juga telah menawarkan rumah sewa yang lain tetapi mereka tidak mahu berpindah. Jadi kita akan menggerakkan sukarelawan MAYC untuk membaiki rumah ini untuk memberi sedikit keselesaan kepada mereka.

“Saya juga dimaklumkan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) telah berkunjung ke rumah keluarga ini dan kita akan mengenal pasti bentuk bantuan yang mereka akan berikan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata, kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada keluarga Ruslida di Kampung Batu 5, di sini hari ini.

Sementara itu, Ruslida berterima kasih dan terharu dengan bantuan yang diberikan kepada keluarganya.

“Syukur Alhamdulillah rezeki anak di bulan puasa ini. Terima kasih kepada semua yang membantu termasuklah MAYC dan pihak wartawan.

“Pagi tadi saya juga telah ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Gua Musang untuk urusan bantuan bulanan kewangan yang akan diterima bermula bulan Julai ini,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan kesusahan hidup selepas bercerai memaksa seorang ibu tunggal tujuh anak menjadikan kandang kambing yang telah diubah suai sebagai tempat tinggalnya.

Ruslida yang mengambil upah menoreh sebanyak RM10 sehari tinggal bersama anaknya di kandang itu sejak setahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini