LABUAN – Seorang wanita warga Filipina yang baru berkahwin lapan bulan ditemui mati dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam lubang kumbahan di rumahnya di perkampungan setinggan Kiamsam Lama, di sini semalam.
Mangsa berusia 24 tahun ditemui dalam keadaan terlentang dan terendam di dalam lubang kumbahan terbabit oleh bapanya kira-kira pukul 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Muhammad Farid Ahmad berkata, ketika dijumpai muka mayat wanita berkenaan ditutupi dengan tuala dan terdapat sebuah tukul di bahagian kiri kepalanya.
“Hasil siasatan mendapati, kali terakhir bapa mangsa melihat anak perempuannya pada 18 Jun lalu sebelum dikatakan hilang selama dua hari.
“Mengesyaki sesuatu berlaku terhadap anaknya itu, bapanya segera ke rumah mangsa sebelum bertindak mengumpil pintu rumah apabila terhidu bau busuk dari bahagian dapur,” katanya hari ini.
Tambah Muhammad Farid, pemeriksaan terhadap fizikal mangsa menemui satu kesan hentakan pada dahi disyaki menggunakan benda keras yang tumpul dan luka pada leher sebelah kiri dagu.
“Polis kini giat memburu suami mangsa berusia 24 tahun yang telah menghilangkan diri selepas insiden berkenaan. Motif pembunuhan masih dalam siasatan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.











