Mayat wanita Filipina ditemui di dalam kumbahan rumah sendiri - Utusan Malaysia

Mayat wanita Filipina ditemui di dalam kumbahan rumah sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LABUAN 21 Jun – Seorang wanita Filipina yang baru berkahwin lapan bulan ditemui mati, dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam lubang kumbahan di rumahnya di perkampungan setinggan Kiamsam Lama, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Muhammad Farid Ahmad berkata mayat wanita berusia 24 tahun tersebut ditemui terendam di dalam lubang di bawah lantai dapur rumah berkenaan pada kira-kira 11 malam.

Polis turut menemui satu tukul besi di sebelah mayat mangsa, dipercayai senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa, katanya kepada Bernama.

Memuatkan artikel berkaitan…

 Mengulas lanjut, beliau berkata terdahulu pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat wanita itu yang dibuat oleh bapanya sendiri pada kira-kira 10.30 malam.

Menurut Muhammad Farid, ayah mangsa merasa ada yang tidak kena apabila gagal mengesan  anaknya yang kali terakhir dilihat dua hari sebelum itu bersama suaminya.

“Bapanya yang dalam keadaan  curiga  terus  ke rumah  anaknya dan mengumpil pintu untuk masuk ke rumah anaknya itu.

“Setelah masuk, bapanya terhidu bau busuk dari bahagian dapur namun tidak menjumpai anaknya  dan mengesyaki sesuatu di bahagian bawah dapur lalu mengumpil ‘plywood’ lantai dapur sebelum menjumpai anaknya yang sudah tidak bernyawa di dalam lubang kumbahan berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, polis kini memburu suami mangsa yang berusia 24 tahun yang telah menghilangkan diri, katanya, menambah kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kampung Kiansam Lama adalah  kawasan penempatan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa  Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk warga Filipina.-BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini