PUTRAJAYA – Syarikat telekomunikasi terkemuka, Maxis Berhad tampil sebagai penaja utama ‘Platinum Sponsor’ berjumlah RM18 juta bagi penyiaran Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2018 di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Selain Maxis, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pula tampil sebagai penaja Gold Sponsor berjumlah RM12 juta.
Sebagai antara penaja penyiar Piala Dunia 2018, AirAsia turut menyediakan peluang menarik kepada para penonton untuk memenangi 54 tiket penerbangan melalui kuiz yang dianjurkan sepanjang kejohanan berlangsung.
Bagi kempen Piala Dunia edisi ke-21 di Rusia tahun ini, RTM memperuntukkan 400 jam siaran bagi menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan menerusi TV1 dan TV2.
Daripada jumlah itu, sebanyak 28 perlawanan akan disiarkan secara langsung manakala 13 perlawanan disiarkan secara siaran tertunda.
Empat pengacara akan bertugas semasa siaran langsung Piala Dunia 2018 iaitu Fahrin Ahmad, Rasdi Jumaat, Izwan Mohd. Nor dan Azlan Mubin selain dua bekas pemain bola sepak negara, Lim Chan Yew dan Rudie Ramli. – K! ONLINE











