Martabat hartawan menurut Islam - Utusan Malaysia

Martabat hartawan menurut Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Golongan hartawan pada zaman Rasulullah tidak dijadikan contoh utama. Sebaliknya, apa yang sering diulang cerita adalah kisah Qarun yang binasa disebabkan hartanya

Pada tahun 2010, seramai 40 individu dan pasangan paling kaya di Amerika Syarikat bersepakat untuk menyertai satu kempen yang dinamakan The Giving Pledge. Idea itu dicetuskan oleh pasangan Bill dan Melinda Gates serta Warren Buffet, yang kekayaan terkumpul mereka menurut laporan terbaharu majalah Forbes masing-masing sebanyak AS$90.3 bilion (RM360 bilion) dan AS$84.2 bilion (RM335 bilion).

The Giving Pledge mempunyai konsep yang mudah iaitu mengajak jutawan dari seluruh dunia mendermakan lebih 50 peratus kekayaan mereka untuk tujuan kebajikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bill Gates, pengasas bersama Microsoft telah berikrar untuk menyalurkan lebih separuh hartanya. Menurut ikrar Buffet pula, keluarga dan keturunan beliau hanya memerlukan satu peratus daripada kekayaan yang ada manakala 99 peratus lagi harta akan dikongsi dengan golongan yang kurang bernasib baik.

Sama seperti Buffet, pengasas Facebook, Mark Zuckerberg yang memiliki kekayaan AS$71.2 bilion (RM283 bilion) juga telah berikrar untuk mendermakan 99 peratus hartanya untuk kebajikan.

Setakat ini, lebih 183 individu, pasangan dan keluarga terkaya dunia, berusia antara 30 hingga 90 tahun telah menyatakan ikrar untuk menyertai program tersebut. Antara rakyat Malaysia yang terlibat dalam program itu ialah pengasas konglomerat Berjaya Corp. Berhad, Tan Sri Vincent Tan. 

Dalam catatannya dalam laman web The Giving Pledge, Vincent berkata, beliau percaya bahawa semua aktiviti amal dan kebajikan seseorang perlu dirahsiakan. 

Namun, katanya, setelah melihat inisiatif Bill Gates dan Buffet yang menyeru jutawan di seluruh dunia berikrar menyumbangkan sekurang-kurangnya separuh harta mereka, beliau terpanggil untuk menyertai kempen tersebut. Vincent telah menubuhkan Yayasan Better Malaysian dan Yayasan Berjaya Care.

Ironinya, hanya beberapa hartawan Islam menyertai The Giving Pledge termasuk Putera Alwaleed Talal dari Arab Saudi walaupun terdapat hadis dan ayat al-Quran yang menjelaskan kemuliaan orang kaya yang bertakwa. 

Pada zaman Nabi Muhammad SAW dahulu, ada segolongan hartawan Islam yang sangat kaya. Mereka dikenali sebagai ‘ahludduthur’, yang bermaksud golongan hartawan yang kaya-raya.

Di samping menikmati kemewahan hidup, mereka juga ahli ibadah yang sangat dermawan. Nama-nama seperti Usman bin Affan dan Abdurrahman bin Auf merupakan penyumbang utama kepada ekonomi dan pembangunan sosial di Madinah dan juga seluruh umat Islam. Secara relatif, kekayaan mereka mungkin menyamai golongan korporat di Malaysia pada masa ini.

Menabur bakti

Justeru, apabila kerajaan mewujudkan Tabung Harapan Malaysia yang bagi membolehkan rakyat negara ini menyumbang demi meringankan beban hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion, ia hanyalah satu lagi saluran untuk orang ramai menabur bakti terutamanya golongan berada.

Walaupun sesetengah orang bersikap sinikal terhadap kewujudan tabung itu, sesetengah yang lain berpendapat ia sebagai platform untuk menunjukkan semangat patriotik, perpaduan dan kesetiaan kepada negara.

Harta dunia bukanlah sesuatu yang keji. Bagaimana ia digunakan akan menentukan baik buruk harta tersebut. Malangnya, umat Islam di seluruh dunia ramai yang miskin. 

Kebanyakan negara Islam juga miskin. Kalau ada negara yang kaya, ia cuma bergantung kepada jualan minyak, yang boleh habis pada bila-bila masa. Ada negara Islam yang majoriti rakyatnya secara purata hanya mampu makan beberapa keping roti dan dua gelas susu dalam sehari.

Pada masa yang sama, fahaman keagamaan yang menguasai sebahagian daripada mereka adalah fahaman antidunia atau kekayaan. Imej orang kaya terus-menerus diburukkan termasuk dalam filem-filem Melayu sejak 1950-an lagi.

Golongan hartawan pada zaman Rasulullah tidak dijadikan contoh utama. Sebaliknya, apa yang sering diulang cerita adalah kisah Qarun yang binasa disebabkan hartanya.

Mengulas mengenai sikap zuhud, tokoh gerakan Islam di Mesir, Hassan al-Banna berkata, bukanlah zuhud itu meninggalkan dunia dikuasai orang kafir yang berseronok dengan kekayaan, sedangkan orang Islam terhalang daripada menguasainya. “Malah, hakikat zuhud ialah memiliki dunia sehingga sama sahaja di sisimu antara emas dan tanah,” katanya.

Kata-kata ulama hadis, al-Qhadi Iyadh boleh dijadikan inspirasi bagi umat Islam di negara ini jika ingin mencari kekayaan: “Siapa yang kaya lalu dia gemar berinfak, maka kaya lebih baik daripada miskin. Sebaliknya, siapa yang kalau kaya menjadi kedekut dan bakhil, maka miskin lebih baik daripada kaya.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini