ALOR GAJAH 29 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan menahan 12 orang warganegara Indonesia termasuk seorang bayi dan dua kanak-kanak yang cuba menyeludup keluar dari negara ini menggunakan jalan yang tidak diwartakan di perairan Teluk Gong dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 11 malam itu, kesemua mereka ditahan ketika menaiki sebuah bot kayu dalam keadaan mencurigakan kira-kira 0.8 batu nautika dari barat daya Pulau Konet dekat sini.
Pengarah Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, Kepten Maritim Amran Daud berkata, mereka ditahan oleh sepasukan anggota yang ketika itu melakukan rondaan operasi harian.
Menurutnya, semasa diperiksa bot kayu itu tidak memiliki nombor pendaftaran dan menggunakan dua buah enjin sangkut dengan keupayaan 30 kuasa kuda.
“Pihak Maritim Malaysia menahan seorang tekong bersama 11 lagi penumpang yang kesemuanya merupakan warga Indonesia. Daripada kesemua 12 yang ditahan itu, tujuh merupakan lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 45 tahun, seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dan dua kanak-kanak lelaki berusia 2 dan 10 tahun.
“Kesemua mereka dibawa ke Ibu pejabat Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan di Kuala Linggi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Menurut Amran, kes ini disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki menyeludup keluar pendatang asing dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Matitim Malaysia akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan sebagai usaha mengurangkan jenayah di zon maritim negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah dan kecemasan di laut boleh menghubungi talian hotline Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan di 06-3876730 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – UTUSAN ONLINE











