KUALA LUMPUR 26 Jun – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah mewarta dan mengawal 57 pintu masuk terdiri dari pintu masuk udara, laut serta darat bagi memastikan setiap barangan import dan eksport sentiasa bebas daripada bahan tercemar yang boleh mengancam nyawa.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mokhtaruddin Husain berkata, antara barangan yang diperiksa bagi tujuan tersebut adalah tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, produk tani, mikroorganisma dan bekalan makanan untuk rakyat.
“Inisiatif ini adalah rentetan kes dua keluaran sardin tidak mematuhi Akta Makanan 1983 yang dibawa masuk dari China melalui pintu masuk North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang.
“Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 diguna pakai bagi mengawal serangan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan zoonotik daripada masuk ke dalam negara bagi memastikan makanan diimport selamat dimakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, inisiatif tersebut membuktikan kerajaan memandang serius isu-isu melibatkan aspek biosekuriti atau kawalan penyakit, perosak merbahaya dan keselamatan makanan yang mengancam negara. – UTUSAN ONLINE










