PULUHAN tahun menjadi pembangkang, kini Mohamad Sabu atau ‘Mat Sabu’ berada dalam kerajaan.
Malah, beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan, jawatan yang sangat penting dalam hierarki pemerintahan negara.
Mohamad bukan hanya terkenal kerana kelantangannya ketika berceramah tetapi dikenali dengan watak jenaka yang menghibur hati ketika berceramah.
Kini, sebagai seorang menteri, apatah lagi di sebuah kementerian yang mementingkan protokol, Mohamad tentunya tidak lagi boleh sewenang-wenangnya beraksi seperti dahulu.
Bagaimanapun, dalam satu komentarnya, beliau berkata, walaupun ada hal-hal yang beliau perlu mengikuti protokol yang telah ditetapkan, beliau juga akan tetap mempertahankan ‘gaya Mat Sabu’.
Sebenarnya isu manusia dan peranan yang patut kita mainkan dalam konteks tertentu adalah aspek semula jadi manusia.
Malah, kita sendiri melaluinya pada setiap hari.
Apabila kita bekerja, kita mengenakan pakaian yang kemas dan bergaya, sesuai dengan suasana pekerjaan kita.
Tekanan psikologikal
Sebaliknya, apabila kita ke masjid, kita mungkin mengenakan pakaian tertentu.
Kita mungkin mengawal gaya perbualan agar sesuai dengan konteks yang kita lalui tadi.
Sebaliknya, apabila berada di kedai kopi, kita mungkin berbual dengan begitu lantang dalam perkara-perkara tertentu.
Mengapa kita harus berubah?
Sebenarnya manusia berubah mengikut konteks situasi yang mereka harungi kerana ia akan mengurangkan tekanan psikologikal.
Misalnya, jika kita memakai kopiah atau berjubah seperti seorang agamawan tetapi kemudian diminta untuk masuk ke dalam sebuah pusat hiburan, kita akan berasa begitu janggal dan tidak selesa.
Ini kerana gaya kita berpakaian bertentangan dengan sifat persekitaran yang perlu kita lalui.
Sebaliknya, kita mungkin berasa begitu tenteram apabila berpakaian sedemikian apabila berada di dalam masjid.
Pada tahun 1973, Philip Zimbardo telah melakukan satu kajian yang cuba mengenal pasti peranan warden dan tahanan penjara.
Mereka yang terlibat dalam kajian ini ialah pelajar universiti yang diminta untuk menjadi warden atau tahanan.
Mereka yang ‘ditahan’ telah diperlakukan seolah-olah seorang penjenayah sebenar.
Mereka ditangkap di kediaman mereka, dibawa ke balai polis untuk diambil gambar dan direkodkan keterangan, kemudiannya dimasukkan ke bilik tahanan.
Mereka dibogelkan dan diberikan pakaian penjara.
Mereka yang terlibat sebagai warden pula diberikan dengan pakaian khas dan beberapa kelengkapan lain.
Mereka diarahkan untuk melakukan apa yang mereka rasakan perlu bagi memastikan undang-undang dihormati.
Rupa-rupanya, walaupun kajian ini hanyalah satu ‘lakonan’, ia kelihatan benar-benar berlaku.
Warden mula menunjukkan kuasanya apabila mula membangunkan tahanan pada pukul 2.30 pagi.
Tahanan pula mula berbual-bual dengan tahanan lain dengan kesalahan yang mereka lakukan atau luahan isi hati yang lain seperti yang sering berlaku kepada penjenayah sebenar.
Semua ini menunjukkan bahawa manusia secara semula jadinya akan berubah apabila kita berada dalam persekitaran tertentu.
Begitu jugalah hal yang kita saksikan dalam cerita politik tanah air mutakhir ini.
Sejak puluhan tahun, ahli politik pembangkang akan mencari jalan untuk mengkritik apa sahaja dasar atau polisi yang dilakukan oleh pihak kerajaan.
Sebaliknya, pihak kerajaan pula akan mempertahankan apa sahaja polisi yang mereka lakukan.
Kini, kita lihat keadaan sebaliknya berlaku.
Tatkala pembangkang kini bertukar menjadi kerajaan dan kerajaan pula bertukar menjadi pembangkang, nada serta gaya politik juga berlawanan.
Mereka yang dahulunya pembangkang, kini menjadi kerajaan dan perlu pula menepis setiap kritikan yang diterima saban hari.
Semua ini berlaku kerana setiap manusia perlu menyesuaikan diri dengan peranan yang ada dalam hidupnya.
Personaliti
Sebab itu, sebagai manusia kita tidak boleh mengekalkan watak yang sama dalam semua keadaan.
Ia adakalanya berubah secara semula jadi sesuai dengan situasinya.
Namun, tidak bermakna kita akan berubah secara sepenuhnya.
Sebahagian besar personaliti kita, seperti sama ada seorang yang penyabar atau tidak, suka berjenaka dan sebagainya akan kekal buat selama-lamanya.
Ia akan menjadi sebahagian daripada hidup kita.
Dalam konteks cerita Menteri Pertahanan kita tadi, yang dikatakan ‘gaya Mat Sabu’ itu tentulah personaliti beliau.
Beliau pasti akan kekal berjenaka dan mudah didekati oleh masyarakat.
Bagaimanapun, dalam konteks yang lain, beliau mungkin menjadi orang yang baharu.
Beliau tidak lagi boleh berpakaian serba ringkas pada sepanjang masa, sebaliknya perlu mengenakan tali leher dan jaket seperti kebanyakan orang kenamaan yang lain.
Beliau juga mungkin tidak lagi boleh melemparkan mikrofon sesuka hati ketika berceramah.
Selamat bertugas Yang Berhormat!











