Malaysia sokong usaha ke arah denuclearisation - Utusan Malaysia

Malaysia sokong usaha ke arah denuclearisation

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA 2 Jun – Malaysia menyokong penuh usaha ke arah denuclearisation dan berharap tidak hanya ber­tum­pu kepada negara tertentu seperti Korea Utara dan Iran sahaja, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

“Ia harus merangkumi semua negara yang memiliki senjata nuk­lear,” kata beliau selepas Dia­log Shangri-La (SLD) edisi ke-17 di sini hari ini.

Mohamad berkata, Malaysia menyambut baik rundingan menangani krisis nuklear yang dijang­ka berlangsung antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Singapura pada 12 Jun ini.

“Ia satu usaha yang baik. Kita tidak mahu (ia berulang) di rantau (Asia) ini. Kita ada experience menge­nai (pengeboman) ke atas Hiroshima dan Nagasa­ki.

“Itu adalah teknologi 70 atau 60 tahun dahulu. Kita tidak tahu teknologi nuklear sekarang. Ia amat berbahaya kepada umat manusia. Sebarang usaha ke arah denuclearisation kita akan sokong sepenuh­nya,” kata beliau.

Mohamad berkata, dengan ada­nya pertemuan antara Trump dengan Jong-un, itu sudah mula satu usaha yang baik.

Ketika mengulas ucapan Se­tiausaha Pertahanan AS, Ja­mes Mattis di SLD yang dilihat agak ‘keras’ terhadap China di Laut China Selatan, Mohamad menjawab: “Kita sentiasa mengekalkan dasar berkecuali. Itu­lah yang kita perjuangkan sejak ke­pimpinan Tun Abdul Razak.

“Kita tidak mahu sebarang pertembungan berlaku di Laut China Selatan. Kita amat bimbang me­ngenai apa yang berlaku di sana,” kata beliau.

Mohamad menjelaskan, ASEAN akan sentiasa mengadakan dia­log dengan China dan AS.– BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN