Malaysia mahu anjur Piala Dunia 2022 - Utusan Malaysia

Malaysia mahu anjur Piala Dunia 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Jun – Malaysia akan mengemukakan bidaan bagi penganjuran Piala Dunia Hoki 2022.

SUBAHAN KAMAL
SUBAHAN KAMAL

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif hari ini.

Beliau memberitahu, selain itu Malaysia juga akan membuat bidaan bagi menganjurkan Final Siri Dunia Lelaki 2019 bagi kelayakan Sukan Olimpik 2020 dan Final Siri Dunia Wanita 2021 untuk kelayakan Piala Dunia 2022.

“MHC akan menghantar ketiga-tiga bidaan ini kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) minggu depan.

“Buat masa sekarang penganjuran Final Siri Dunia Lelaki 2019 hampir pasti milik Malaysia kerana sebelum ini FIH telah menawarkannya kepada kita dan kami bersetuju.

“Bagi dua lagi bidaan termasuk Piala Dunia 2022, terpulang kepada FIH kerana sudah pasti negara lain juga akan membuat bidaan.

“Begitupun, Malaysia memiliki semua kemudahan termasuk stadium terbaik bagi menganjurkan Piala Dunia,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Subahan memberitahu, penganjuran Final Siri Dunia Lelaki 2019 adalah ‘pelan kecemasan’ yang akan digunakan Malaysia untuk ke Sukan Olimpik 2020 seandainya skuad hoki negara gagal meraih pingat emas pada Sukan Asia 2018 bagi kelayakan automatik ke temasya Tokyo.

“Menerusi kejohanan itu, Malaysia sebagai tuan rumah tidak perlu memulakan saingan di peringkat kalayakan awal sebaliknya memulakan aksi di fasa terakhir.

“Bagaimanapun, skuad kebangsaan perlu menamatkan saingan dalam kelompok dua terbaik untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN