Malaysia kena ikut Jepun - Utusan Malaysia

Malaysia kena ikut Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Jun – Malaysia wajar mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang serta program pembangunan untuk kumpulan pemain akar umbi yang konsisten selain mencontohi Jepun yang lima kali berturut-turut layak menyertai pusingan akhir Piala Dunia sejak 1998 malah meletakkan sasaran muncul juara pada 2050.

Jurulatih skuad Bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berkata, kita perlu bermula de­ngan memastikan skuad remaja seperti bawah 16, 19, 21 dan 23 tahun negara layak ke pusingan akhir peringkat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana kumpulan pemain inilah yang akan membentuk skuad Harimau Malaya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Seterusnya kita perlu layak ke Sukan Olimpik dan pusingan akhir Piala Asia. Cuma bezanya dengan Jepun yang bercita-cita jadi juara Piala Dunia, kita baru hendak sasarkan ke pusingan akhir,” kata­nya dalam ‘Forum Piala Dunia Rusia 2018: Di Mana Malaysia’ anjuran Utusan Malaysia di ibu pejabat Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jurulatih yang membimbing skuad negara muncul juara Sukan SEA Indonesia 2011 itu diundang sebagai ahli panel forum ber­kenaan di samping legenda bola sepak 70-an hingga 80-an negara, Datuk Santokh Singh dan peng­u­las sukan TV, Rizal Hashim selain Hafizal Hamad selaku moderator.

Turut hadir memeriahkan forum berkenaan ialah pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, barisan pegawai Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang diketuai Presidennya, Rezal Zambery Yahya dan Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Datuk Richard Scully.

Namun, Santokh, anggota skuad yang layak ke Olimpik Moscow 1980 dan pemenang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974, pula berpendapat bahawa Malaysia hanya boleh berangan-angan untuk layak ke Piala Dunia selagi Liga Malaysia sekarang terus dibanjiri pemain import.

“Sekarang setiap pasukan da­lam liga kita, ada empat atau lima pemain import sehinggakan pemain tempatan tiada tempat dalam kesebelasan utama dan hanya duduk di bangku simpanan. Baik lupakan sahaja Piala Dunia kalau dalam pasukan tempatan pun mereka tidak dapat main.

“Sikap pemain generasi sekarang juga kena berubah. Dulu sebagai pemain, saya selalu pegang nasihat (Allahyarham) Datuk Harun Idris (bekas pengurus pasukan negara dan Naib Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia – FAM), amalkan 3D (disiplin, determination/keazaman dan dedikasi),” katanya.

Menyentuh tajuk forum ‘Di Mana Malaysia’ dalam Piala Dunia sepanjang 12 edisi aksi kelayakannya sejak 1973, Rizal yang merupakan bekas wartawan akhbar harian berkata: “saya rasa skuad kelayakan 1985 kita yang terhampir dan terbaik untuk ke pusingan akhir di Mexico 1986.

“Kita mengejutkan Korea Selatan 1-0 di Stadium Merdeka dengan rembatan kaki kiri Dollah Salleh. Dalam perlawanan timbal balik di tempat lawan, kita panggil balik Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari. Jika menang ketika itu, kita hanya perlu mengharungi satu lagi pusingan untuk ke Piala Dunia.”

Hafizal turut menyarankan FAM agar menghentikan amalan membawa pegawai-pegawai kanannya sebagai pelancong ke Piala Dunia di negara tuan rumah, sebaliknya memberikan peluang kepada bekas-bekas pemain negara sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini